Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
3,581 anak yatim terima sumbangan
18/03/2024

mjpm_1803241.jpg

Seramai 3,581 anak yatim yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menerima sumbangan yang dihulurkan melalui gabungan Tabung Anak-anak Yatim JAPEM, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara (DBM) dan sumbangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). 

Daripada jumlah tersebut, seramai 2,329 adalah anak yatim yang berdaftar di DBM; 559 anak yatim berdaftar di Daerah Tutong; 533 anak yatim berdaftar di Daerah Belait dan; 160 anak yatim berdaftar di Daerah Temburong. 

Jumlah sumbangan yang dihulurkan melalui Tabung Anak-anak Yatim JAPEM adalah sebanyak BND358,100. Manakala Tabung Anak Yatim DBM menyumbangkan sejumlah BND34,935 dan sumbangan BIBD berjumlah BND179,050. 

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan yang dikelolakan oleh KKBS melalui JAPEM dengan kerjasama Jabatan DBM, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan BIBD berlangsung pagi tadi bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. 

Hadir selaku tetamu kehormat bersama bagi menyampaikan sampul-sampul derma ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BIBD; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad. 

Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah An-Nisa ayat 36 hingga 39 oleh Awang Mohammad Syafiq Hazwan bin Johari dan kemudian diterjemahkan oleh Awang Muhammad Azka Ajyad bin Haji Mayad, masing-masing penuntut dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. 

Acara diikuti dengan bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Pemantau Zon 4, Pejabat Masjid DBM, Pengiran Haji Mohd. Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar. 

Majlis juga menyaksikan penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar-pelajar Cemerlang BIBD kepada 11 anak yatim yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peringkat 'A' dan 'O', Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) pada tahun 2023. 

Hadiah-hadiah tersebut juga disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II. 

Urus Setia Tabung Anak-anak Yatim sangat mengalu-alukan sumbangan derma dari orang ramai bagi sama-sama menghulurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim yang berdaftar di bawah pendaftaran kebangsaan. 

Sumbangan derma tersebut bolehlah dihulurkan melalui kaedah berikut iaitu Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, JAPEM, Tingkat 2, Bangunan KKBS semasa waktu pejabat sahaja atau melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim yang berlangsung selama sembilan bulan mulai 5 Mac 2024 hingga 5 Disember 2024 dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100. 

Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah BND20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif dan bagi pelanggan Imagine hantar kepada 39999; atau melalui BIBD 'online' atau memasukkan derma ke nombor akaun 0000-101-004-9034 di bawah nama akaun 'Tabung Anak-anak Yatim'. 

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, JAPEM menerusi talian +673 2380704 pada waktu pejabat atau menghubungi Talian Kebajikan 141 atau Talian Anak 121 pada bila-bila masa. 

Mudah-mudahan dengan adanya sumbangan daripada orang ramai akan dapat membantu anak-anak yatim dalam menyambut bulan Syawal selain meraih pahala yang berlipat ganda pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan sekali gus untuk mendapat keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. 

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis, Pemangku Pegawai DBM, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, pegawai-pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan wakil-wakil BIBD.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto